KOTA TINGGI - Hasrat seorang wanita untuk menjadi lebih cantik dan berseri lebur apabila krim kosmetik yang digunakan menyebabkan kulit wajahnya menjadi lebam dan berwarna kehitaman seperti dibakar.
Mangsa, Zainani Zakaria, 48, yang bekerja sebagai pembantu jualan di Econsave Kota Tinggi berkata, dia tertarik menggunakan krim tersebut yang diperkenalkan oleh seorang rakan.
Katanya, dia sebelum itu menggunakan krim kosmetik daripada jenama lain, tetapi mengambil keputusan untuk beralih kepada jenama yang diperkenalkan itu kerana harganya lebih murah.
“Selepas beberapa kali menggunakan krim tersebut, kulit wajah saya mula ditumbuhi tompok putih seakan-akan panau.
"Menurut rakan, mungkin kesan saya berhenti guna produk kosmetik yang sebelumnya. Lalu saya pun kembali menggunakan produk lama," katanya ketika ditemui pemberita, semalam.
Bagaimanapun, keadaan menjadi bertambah buruk apabila seminggu selepas menggunakan produk tersebut kulit mukanya mengalami gatal-gatal dan mulai kemerahan.
Tidak lama selepas itu, kulit mukanya mengelupas seperti terbakar, luka dan berdarah, manakala sebahagian kecil bulu mata dan kening menjadi putih.
Menurut ibu kepada tiga anak itu, sehingga kini dia terpaksa menanggung malu kerana kulit wajahnya tidak seperti dahulu.
Tambah Zainani, dia juga terpaksa memakai topeng mulut ketika bekerja kerana malu berdepan pelanggan yang bertanya.
“Saya malu apabila wajah jadi perhatian. Ada yang tanya kenapa kulit jadi seperti itu dan sebagainya.
"Saya juga pernah mendapatkan rawatan di klinik pakar kulit tetapi kosnya tinggi, jadi saya tidak dapat meneruskan rawatan.
“Kemudian ada rakan saran saya cuba madu kelulut. Alhamdulillah ada sedikit kesan positif. Kulit gelap di muka tidak seteruk ketika mula-mula dulu,” katanya.
Dia juga telah mengadukan masalah itu kepada Pejabat Kesihatan Daerah Kota Tinggi dan Pejabat Kesihatan Johor Bahagian Perkhidmatan Farmasi, mengesahkan kesan sampingan menggunakan produk itu sememangnya berasas.
“Surat itu juga memaklumkan mereka telah melakukan siasatan awal berdasarkan maklumat sampel produk yang saya beri. Saya cuma harap orang ramai terutama wanita berhati-hati memilih produk kecantikan.
"Saya berkongsi masalah ini bukan kerana mahukan wang. Cuma berharap jika ada pihak dapat bantu pulihkan kembali wajah saya kerana saya memang tak mampu keluarkan kos yang besar,” katanya.
0 Response to "Akibat Krim Kosmetik Murah , Wajah Jadi Kehitaman ."
Post a Comment